Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
 Bersama Membangun Negara     Kha, 29 Sept 2016    Eng | Mal
Utama / Duti Setem (Am)

PENGENALAN

Duti Setem dikenakan ke atas surat cara dan bukan transaksi. Surat cara didefinisikan sebagai setiap dokumen bertulis dan pada amnya duti setem dikenakan ke atas surat cara jenis undang-undang, komersial dan urusan kewangan. Surat cara yang dikenakan duti adalah surat cara yang tersenarai di bawah Jadual Pertama Akta Setem 1949. Orang yang dikenakan duti adalah orang seperti yang disenaraikan di bawah Jadual 3 Akta Setem 1949.
Taksiran dan Pungutan Duti Setem diperuntukkan di bawah undang-undang statut yang dikenali sebagai Akta Setem 1949.

JENIS DUTI

1. Duti Ad Valorem

Duti dikenakan berdasarkan nilai yang dinyatakan dalam surat cara atau nilai pasaran yang berkaitan. Duti ad valorem (mengikut nilai) boleh dikenakan ke atas:

  • surat cara pemindahan (secara jualan atau hadiah) hartanah termasuk sekuriti yang boleh dipasarkan (iaitu stok pinjaman dan saham syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia Berhad), saham-saham syarikat yang lain dan harta tak ketara contohnya hutang buku, hak disisi undang-undang dan nama baik;
  • surat cara yang mewujudkan kepentingan ke atas harta seperti penyewaan dan pajakan berkanun;
  • surat cara yang menjamin bayaran dan bayaran balik wang termasuk surat cara yang mewujudkan kontrak untuk pembayaran atau tanggungan untuk pembayaran; dan
  • surat cara pasaran modal yang tertentu contohnya Nota Kontrak.

2. Duti Tetap

Duti dikenakan tanpa ada kaitan dengan balasan atau amaun yang dinyatakan dalam surat cara. Duti tetap boleh dikenakan ke atas;

  • surat cara perundangan, perniagaan, perdagangan atau pasaran modal contohnya Surat Kuasa Wakil, Perkara-perkara Persatuan bagi Syarikat, Nota Janji Hutang, Polisi Insurans dan sebagainya; dan
  • surat cara pendua atau subsidiari atau kolateral dengan syarat ia dapat ditunjukkan bahawa surat cara asal atau utama atau prinsipal telah disetemkan dengan sempurna


SURAT CARA YANG DIKENAKAN DUTI DAN KADAR

Surat cara yang dikenakan duti disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Setem 1949 beserta kadar duti yang berkenaan.

PENGECUALIAN DAN RELIF

1. Pengecualian

  • Pengecualian Am dan Khusus
    • Surat cara yang layak diberikan pengecualian di bawah Seksyen 35 Akta Setem 1949, disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta yang sama di bawah tajuk “Pengecualian Am”.
    • Pengecualian khusus pula diberikan kepada surat cara yang tersenarai di bawah tajuk “Pengecualian” di bawah butiran 2, 4, 23, 24, 32, 49 dan 58 Jadual Pertama Akta Setem 1949.
  • Lain-lain Pengecualian

Lain-lain pengecualian adalah di bawah seksyen 80 Akta Setem 1949 yang diberikan oleh Menteri Kewangan. Pembayar duti perlu menyatakan rujukan warta atau mengemukakan/melampirkan surat pengecualian/peremitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan semasa membuat permohonan penyeteman atau adjudikasi.

  • Peremitan

Peremitan merupakan sebahagian daripada pengecualian di mana amaun duti sebenar dikurangkan kepada suatu kadar yang diluluskan oleh Menteri Kewangan di bawah seksyen 80, Akta Setem 1949.

2. Relif

Relif daripada dikenakan duti diberikan di bawah seksyen 15 dan 15A, Akta Setem 1949.

  • Seksyen 15 - Relif daripada duti setem bagi surat cara berkaitan penyusunan semula atau penyatuan syarikat.
  • Seksyen 15A - Relif daripada duti setem bagi surat cara berkaitan pemindahan harta di antara syarikat bersekutu.

Permohonan untuk relif ini hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Pengarah Negeri dan boleh dibuat melalui sistem STAMPS.

ADJUDIKASI SURAT CARA

1. Tujuan Adjudikasi

Tujuan adjudikasi adalah untuk memastikan sesuatu surat cara telah disetemkan dengan duti yang secukupnya. Surat cara yang tidak disetemkan dengan sempurna tidak boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah.

2. Permohonan Adjudikasi

  • Permohonan adjudikasi untuk menentukan amaun duti yang kena dibayar ke atas surat cara yang disempurnakan boleh dibuat kepada Pemungut Duti Setem. Bagi tujuan ini, pemohon hendaklah mengemukakan surat cara yang hendak disetemkan bersama-sama dokumen sokongan lain yang berkaitan atau lain-lain bukti. Permohonan boleh ditolak oleh pemungut sehingga semua dokumen yang diperlukan dikemukakan.
  • Permohonan adjudikasi boleh dibuat di kaunter-kaunter Pejabat Setem Cawangan yang bertempat di semua cawangan LHDNM, Pusat Khidmat Hasil dan Pejabat Setem Daerah atau secara dalam talian melalui sistem Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) yang boleh dilayari melalui laman sesawang https://stamps.hasil.gov.my.

KAEDAH PENYETEMAN

  1. Sijil Setem. Kaedah ini adalah bagi permohonan adjudikasi yang dibuat melalui Sistem STAMPS. Sijil Setem akan dijana secara elektronik sebagai bukti penyeteman. Sijil Setem ini perlu dikepilkan atau dilekatkan kepada mana-mana surat cara yang berkaitan bagi membolehkan ianya dianggap telah disetemkan dengan sewajarnya.

  2. Setem Tertera. Kaedah ini adalah bagi penyeteman duti setem yang dibuat di Pejabat Setem Cawangan, yang berada di Cawangan-cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) seluruh negara dan Pusat Khidmat Hasil (PKH) melalui Sistem Frangki Digital.

  3. Setem Hasil. Setem hasil hanya boleh didapati di semua Pejabat Pos seluruh Malaysia. Terdapat sembilan denominasi Setem Hasil iaitu;
  • RM1.00;
  • RM5.00;
  • RM10.00;
  • RM50.00;
  • RM100.00; dan
  • RM250.00.

    Pembatalan Setem Hasil ke atas surat cara-surat cara boleh dilakukan di Pejabat Setem Cawangan, Pusat Khidmat Hasil dan Pejabat Setem Daerah. Selain itu, Jadual 2, Akta Setem 1949 juga memberi kuasa kepada mana-mana orang tertentu untuk membatalkan Setem Hasil ini.
    Setem Hasil hanya boleh digunakan bagi surat cara yang dikenakan duti tidak melebihi RM500.00 sahaja. Sekiranya duti yang dikenakan adalah melebihi RM500.00, pemohon hendaklah menggunakan kaedah penyeteman sijil STAMPS atau setem tertera yang dinyatakan di atas. Kedua-dua kaedah ini hanya boleh dibuat di Pejabat Setem Cawangan dan Pusat Khidmat Hasil.

    4. Duti Kompaun. Kaedah ini dikhaskan kepada bayaran duti secara kompaun ke atas cek, polisi insurans, nota kontrak, Memorandum of Association & Article of Association, Borang Bekalan Tenaga Elektrik TNB (Electric Supply Form), oleh pihak yang di peruntukkan di dalam Seksyen 9 Akta Setem 1949.

    5. Resit Rasmi. Penyeteman dibuat melalui pengeluaran Resit Kewangan 38 atau Resit rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Setem. Resit rasmi perlu dikepilkan atau dilekatkan kepada mana-mana surat cara yang berkenaan bagi membolehkan ianya dianggap telah disetemkan dengan sewajarnya.


TANGGUNGJAWAB MEMBAYAR DUTI

  1. Jadual Ketiga Akta Setem 1949 menetapkan pihak yang kena bayar duti bagi sesuatu surat cara.

  2. Kuasa tanggungan bayaran duti diperuntukkan di bawah Seksyen 33, Akta Setem 1949.

CARA PEMBAYARAN

  1. Pembayaran duti setem boleh dibuat di mana-mana Pejabat Setem Cawangan LHDNM dan Pusat Khidmat Hasil dengan cara berikut :
      • wang tunai;
      • Setem Hasil (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM500); atau
      • Kiriman Wang, Wang Pos, Cek Akaun Anak Guam atau Draf Bank di atas nama Pemungut Duti Setem dan hendaklah disertakan bersama-sama dengan surat cara yang berkenaan kepada pejabat setem secara serahan tangan.

    • Pembayaran juga boleh dibuat di Pejabat Setem Daerah menggunakan setem hasil sahaja bagi duti yang dikenakan tidak melebihi RM500.00.

    • Pembayaran secara dalam talian boleh dibuat oleh pengguna STAMPS menerusi kaedah FPX (bagi pemilik akaun CIMB Berhad, Bank Islam Berhad, Maybank Berhad, Public Bank Berhad dan RHB Berhad) atau kaedah pembayaran bil (Bill Payment) melalui CIMB BizChannel.

PENALTI

1. Surat cara hendaklah disetemkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh ianya disempurnakan dalam Malaysia atau dalam tempoh 30 hari selepas ia diterima dalam Malaysia sekiranya ia disempurnakan di luar Malaysia.

2. Sekiranya ia tidak disetemkan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti yang dikenakan berdasarkan tempoh kelewatan seperti berikut;

  • RM25.00 atau 5% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan dalam tempoh 3 bulan selepas masa untuk penyeteman;
  • RM50.00 atau 10% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas tempoh 3 bulan tetapi tidak lewat daripada 6 bulan selepas masa untuk penyeteman; atau
  • RM100.00 atau 20% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas 6 bulan selepas masa untuk penyeteman.

Kadar di atas berkuat kuasa mulai dari 01/01/2003

TANGGUNGJAWAB PELANGGAN UTAMA - PEGUAM / SETIAUSAHA SYARIKAT / PENDAFTAR / INSTITUSI PERBANKAN DAN KEWANGAN

1. Sub seksyen 52(1), Akta Setem 1949 melarang pendaftaran, penerimaan atau pengiktirafan mana-mana surat cara yang tidak disetemkan dengan sempurna. Sekiranya tugas anda termasuk mendaftar, menerima atau mengiktiraf mana-mana surat cara, sila pastikan surat cara tersebut disetem dengan sewajarnya.

Kegagalan untuk mematuhi seksyen tersebut boleh dikenakan hukuman bawah sub seksyen 69(2), Akta Setem 1949 dengan denda yang tidak melebihi RM1,500.00.

2 . Mematuhi prosidur-prosidur yang ditetapkan oleh Pusat Setem Cawangan dan Pusat Khidmat Hasil. Sila pastikan prosidur bayaran di Pejabat Setem Cawangan / Pusat Khidmat Hasil dipatuhi.

3 . Sekiranya terdapat sebarang keraguan terhadap perkara teknikal atau prosedur-kerja, sila hubungi Timbalan Pemungut Duti Setem atau emel kepada mejabantuandutisetem@hasil.gov.my untuk mendapatkan penjelasan.

4 . Peguam atau pegawai yang bertauliah boleh mewakili syarikat dalam isu teknikal dan prosedur kerja mengenai pengenaan duti setem.

STAMPS

Apa itu STAMPS ?

STAMPS ialah Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem secara elektronik melalui internet secara dalam talian. Kaedah ini merupakan kaedah utama penyeteman di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia selain Setem Tertera dan Setem Hasil. Resit/Sijil Setem dijana dari STAMPS menggantikan setem tertera dan Setem Hasil.

Siapa yang boleh menggunakan STAMPS ?

  • Firma Guaman
  • Bank
  • Syarikat Insurans
  • Syarikat / Lain-lain ejen berdaftar

Pendaftaran ID Pengguna Baru Setem

1. Permohonan melalui STAMPS dibenarkan kepada pengguna yang berdaftar sahaja. Pengguna STAMPS terdiri daripada beberapa kategori iaitu Firma Guaman, Bank, Syarikat Insurans dan Ejen.

2. Dokumen yang diperlukan untuk pendaftaran ID baru adalah seperti berikut :

Kategori Pengguna

Dokumen Yang Perlu Dilampirkan

Firma Guaman

      • Salinan kad pengenalan pemohon
      • Surat pemakluman penubuhan Firma Guaman dari Majlis Peguam (Semenanjung) atau surat pemakluman daripada Timbalan Pendaftar Mahkamah / Borang 1/Sijil Pendaftaran Nama-nama Perniagaan bagi Negeri Sabah/Sarawak

Bank

  • Salinan kad pengenalan pemohon
  • Salinan surat kelulusan operasi cawangan bank dari BNM
  • Surat kuasa melantik pegawai mewakili pihak bank

Syarikat Insurans

      • Salinan kad pengenalan pemohon
      • Salinan sijil pendaftaran syarikat daripada ROB atau ROC
      • Surat kuasa melantik pegawai mewakili syarikat insurans

Ejen/Lain-lain(Jika ada)

1. Salinan kad pengenalan pemohon
2. Salinan sijil pendaftaran syarikat daripada ROB atau ROC
3. Surat kuasa melantik pegawai mewakili syarikat

3. Permohonan ID Pengguna dibuat oleh seorang wakil syarikat sahaja yang akan bertindak sebagai pengguna dan pentadbir bagi syarikat yang diwakili. Pentadbir ini boleh tambah pengguna baru pada ruangan profil bagi pegawai-pegawai lain yang dilantik oleh majikan. Sekiranya pihak syarikat/majikan ingin menukar pentadbir asal kepada pegawai lain, sila emel kepada stamps@hasil.gov.my dengan memberikan ID pengguna, nombor kad pengenalan dan surat kuasa wakil bagi pentadbir baru.

Kaedah bayaran menggunakan STAMPS

1. Secara Manual
Di kaunter Pejabat Setem atau Pusat Khidmat Hasil secara tunai, setem hasil (tidak melebihi nilai RM500.00) kiriman wang, wang pos, cek anak guam atau bank draf.

2. Secara Dalam Talian (FPX dan Internet Bangking)

Pembayaran Duti Setem dalam talian bagi FPX dan Internet Banking dibuka kepada pengguna STAMPS mulai 15/12/2012.

Syarat permohonan adalah seperti berikut :

a) Berdaftar sebagai pengguna STAMPS.

b) Perkhidmatan ini menggunakan FPX sebagai Gateway untuk pengguna membayar cukai.

c) Pengguna perlu mempunyai akaun perbankan internet dengan mana-mana bank yang menyertai FPX.

Sila klik pautan berikut bagi senarai bank yang terlibat: http://www.myclear.org.my/fpx/banks-tpa.html

d) Bagi pembayaran melalui Internet Banking, pengguna perlu mempunyai akaun BizChannel@CIMB.

e) Pengguna STAMPS perlu membuat permohonan cetakan sijil di bahagian profil pengguna melalui tab Kebenaran Cetakan Sijil. Sila ikuti maklumat yang diberikan melalui emel setelah permohonan kebenaran cetakan sijil diluluskan.

Sistem Pendaftaran Penghantar Dokumen Setem (SPEDOS)

1. Pengguna STAMPS juga perlu membuat pendaftaran Penghantar Dokumen Setem. Bagi tujuan merekod data penghantar dokumen dan menyimpan jejak dokumen yang dihantar oleh syarikat/ejen melalui penghantar dokumen yang telah disahkan.

2. Pengguna STAMPS perlu log masuk ke dalam STAMPS dan klik pada profil bagi tujuan pendaftaran Penghantar Dokumen. Dokumen yang perlu dilampirkan untuk pendaftaran penghantar dokumen adalah seperti berikut :

  • Gambar berukuran pasport *
  • Salinan Kad Pengenalan **
  • Surat kuasa wakil dari majikan **
  • Dokumen tambahan (Jika ada) **

* Fail dalam format imej (PNG, JPEG/JPG, GIF, TIFF) sahaja diterima.
** Fail dalam format PDF dan imej (PNG, JPEG/JPG, GIF, TIFF) sahaja diterima.

3. Semakan permohonan boleh dibuat oleh pengguna STAMPS untuk mengetahui status pendaftaran yang telah dihantar. Pengguna boleh melihat senarai penghantar dokumen melalui tab Senarai Penghantar Dokumen mengikut status berikut:-

  • Aktif/ Permohonan Diluluskan
  • Tidak aktif
  • Permohonan Baru
  • Permohonan Ditolak
  • Di senarai Hitam

4. Semua penghantar dokumen perlu mengemukakan Kad Pengenalan setiap kali berurusan dengan kaunter Pejabat Setem.

Kenapa guna STAMPS ?

  • Mudah dicapai di mana sahaja dan pada setiap masa
  • Menjimatkan masa memproses surat cara/dokumen
  • Proses penyeteman dan penyimpanan data lebih sistematik
  • Data selamat dan terjamin
  • Mengurangkan kos pergerakkan dokumen
  • Semakan status pada bila-bila masa
  • Pelbagai cara bayaran

Khidmat Bantuan STAMPS
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berkaitan STAMPS, sila hubungi Timbalan Pemungut Duti Setem atau emel kepada stamps@hasil.gov.my untuk mendapatkan penjelasan.


PERINTAH DUTI SETEM


Tahun 2002 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 434

Suratcara yang disempunakan berkaitan pindah milik harta tak alih yang merupakan pelupusan suka rela antara ibubapa dan anak

Tahun 2003 – Perintah Duti Setem (Pengecualian)

P.U.(A) 58

Suratcara yang disempunakan berkaitan pembelian suatu rumah kos rendah

Tahun 2007 – Perintah Duti Setem (Pengecualian)

P.U.(A) 420

Suratcara yang disempunakan berkaitan pindah milik harta tak alih yang merupakan pelupusan suka rela antara suami dan isteri

Tahun 2008 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 211

Mana-mana surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh pembeli yang dinamakan dalam perjanjian jual beli bagi pembelian satu unit sahaja harta kediaman berharga tidak lebih RM250,000 seunit

P.U.(A) 311

Mana-mana perjanjian pinjaman yang disempurnakan oleh pembeli yang dinamakan dalam perjanjian jual beli, untuk membiayai pembelian satu unit sahaja harta kediaman berharga tidak lebih RM250,000 seunit

Tahun 2009 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 409

Peremitan dua puluh peratus duti setem yang kena dibayar ke atas surat cara pembiayaan prinsipal atau utama yang dibuat mengikut prinsip Syariah

Tahun 2010 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 376

Surat cara yang disempurnakan berkaitan penukaran skim pembiayaan/pinjaman sedia ada daripada konvensional kepada syariah diremitkan setakat duti yang kena dibayar atas baki amaun prinsipal pinjaman sedia ada

P.U.(A) 423

Mana-mana perjanjian pinjaman yang disempurnakan oleh pembeli yang dinamakan dalam perjanjian jual beli, untuk membiayai pembelian satu unit sahaja harta kediaman berharga tidak lebih RM350,000 seunit

P.U.(A) 475

Mana-mana surat cara pindah milik yang disempurnakan oleh pembeli yang dinamakan dalam perjanjian jual beli bagi pembelian satu unit sahaja harta kediaman berharga tidak lebih RM350,000 seunit

P.U.(A) 476

Peremitan berkaitan surat cara Perjanjian Perkhidmatan yang boleh dikenakan duti di bawah sub sub butiran 22(1)(b), Jadual 1, Akta Setem 1949

Tahun 2010 – Perintah Duti Setem (Pengecualian)

P.U.(A)120

Surat cara yang dinyatakan dalam Jadual bagi pembelian rumah pangsa di bawah PPR Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam DBKL yang disempurnakan di antara 1.1.2010 hingga 31.12.2011

Tahun 2011 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 81

Peremitan berkaitan penjadualan semula atau penyusunan semula kemudahan pembiayaan Islam sedia ada setakat duti yang kena dibayar atas baki amaun prinsipal bagi kemudahan pembiayaan Islam sedia ada

Tahun 2011 – Perintah Duti Setem (Pengecualian)

P.U.(A) 80

Pengecualian berkaitan pembaharuan mana-mana kemudahan pembiayaan pusingan secara Islam jika surat cara bagi pembiayaan pusingan secara islam yang sedia ada telah disetem dengan sewajarnya

P.U.(A) 441

Perjanjian pinjaman berhubung pembelian harta kediaman daripada Perbadanan PR1MA Malaysia

P.U.(A) 446

Pengecualian bagi Skim Pembiayaan Mikro
Senarai institusi kewangan dan produk berkaitan Skim Pembiayaan Mikro

Tahun 2012 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 8

Peremitan duti yang melebihi RM50.00 bagi surat cara ikatan penyerahan hak menurut Dasar Pengagihan Kerja dari kontraktor kepada kontraktor Bumiputera Kelas E dan F

P.U.(A) 258

Peremitan atas duti yang boleh dikenakan di bawah subsub butiran 22(1)(b) bagi surat cara pinjaman tanpa cagaran bagi apa-apa jumlah atau sejumlah wang yang kena dibayar apabila dituntut atau bayaran balik secara sekaligus

P.U.(A) 416

Mana-mana perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah kediaman yang berharga tidak melebihi RM400,000 oleh seseorang individu warganegara Malaysia

P.U.(A) 417

Mana-mana surat cara pindah milik bagi pembelian rumah kediaman yang berharga tidak melebihi RM400,000 oleh seseorang individu warganegara Malaysia

Tahun 2012 – Perintah Duti Setem (Pengecualian)

P.U.(A) 108

Insentif Polisi Laluan Hijau

Tahun 2014 – Perintah Duti Setem (Peremitan)

P.U.(A) 360

Mana-mana perjanjian pinjaman untuk membiayai pembelian satu unit harta kediaman sahaja bernilai tidak melebihi RM500,000 yang disempurnakan oleh seorang individu warganegara Malaysia yang dinamakan dalam perjanjian jual beli

P.U.(A) 361

Mana-mana surat cara pindah milik bagi pembelian satu unit harta kediaman sahaja bernilai tidak melebihi RM500,000 yang disempurnakan oleh seorang individu warganegara Malaysia

Di lawati : 375,913
Kemaskini : : 2015-11-27 18:10:26

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Menara Hasil, Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, 63000 Cyberjaya Selangor. 03-83138888

2 1mal jata mof msc anm kastam bnm lada spr 1akses
Selamat Datang Welcome United States
  Tarikh Kemaskini : 28 Sept 2016
Pengunjung : China
 Flag 1 Germany
 Flag 2 Hungary
 Flag 1 Malaysia
 Flag 27 United States
 Flag 10 Online : 41
Paparan terbaik menggunakan pelayar Chrome,Internet Explorer(Versi Terkini) atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800. Hak Cipta Terpelihara 2015 © LHDNM
PENAFIAN : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Pengguna Hari Ini: 70,141
Jumlah Pengguna Bulan : ( 09 / 2016 ) 1,675,638
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2016 ) 24,515,511
Jumlah Keseluruhan Pengguna : 137,336,604
Jumlah Pengguna Bulan :( 08 / 2016 ) 2,200,052
Jumlah Pengguna Tahun : ( 2015 ) 31,675,050