Logo_LHDN
Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Bersama Membangun Negara
Jata_Negara
Utama » Isu Berkaitan Pekerja
print text arrowdown Menu

Mengeluarkan Penyata Saraan Tahunan

Merujuk kepada Seksyen 83 (1A), Akta Cukai Pendapatan 1967, setiap majikan perlu memberikan penyata borang EA/EC kepada tiap-tiap pekerja selewat-lewatnnya pada atau sebelum hari terakhir bulan Februari tahun berikutnya.
Penyata yang perlu di isi adalah salah satu dari dokumen berikut :

  1. EA Penyata Gaji untuk pekerja SWASTA.
  2. EC Penyata Gaji untuk pekerja AGENSI KERAJAAN.

Kedua-dua borang ini akan disertakan bersama-sama dengan Borang E yang diposkan kepada tuan. Sekiranya, syarikat tidak menerimanya, Borang EA/EC boleh dimuat turun melalui laman web utama dan klik pada ikon Borang.

Borang EA/EC tidak perlu dikemukakan kepada LHDNM. Ianya hanya perlu diserahkan kepada pekerja.

Makluman Pekerja Baru

Setiap majikan yang mula menggaji individu yang boleh atau mungkin boleh dikenakan cukai pendapatan hendaklah memaklumkan kepada Cawangan Penaksiran yang berhampiran berkenaan pekerja itu dalam tempoh satu bulan dari tarikh permulaan pekerjaannya [Seksyen 83(2), Akta Cukai Pendapatan 1967].

Makluman berkenaan pekerja baru tersebut perlu dibuat dengan menggunakan Borang CP22. Sila lengkapkan borang tersebut dan serahkan kepada cawangan LHDNM yang berdekatan. Antara maklumat pekerja baru yang perlu diberi ialah nama, nombor kad pengenalan, alamat, nombor fail cukai pendapatan (jika ada), tarikh permulaan pekerjaan dan jenis serta syarat-syarat penggajian.

Borang CP22 boleh dimuat turun melalui laman web utama dan klik pada ikon Borang.
Kegagalan majikan memaklumkan kepada LHDNM adalah boleh menjadi satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang dari RM200 dan tidak melebihi RM2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali [Seksyen 120(1), Akta Cukai Pendapatan, 1967].

Selain itu, majikan juga akan bertanggungjawab membayar semua cukai pekerja-pekerja berkenaan [Seksyen 107(4), Akta Cukai Pendapatan 1967].

Pekerja Bersara Atau Pekerja Berhenti Kerja

Majikan bertanggungjawab memaklumkan kepada LHDNM dalam tempoh tiga puluh (30) hari sebelum tarikh pemberhentian pekerja sekiranya :

  1. Pekerja akan bersara.
  2. Pekerja yang tertakluk kepada skim PCB tetapi majikan tidak membuat potongan tersebut.
  3. Pekerja yang akan meninggalkan Malaysia (tidak kembali lagi).

Majikan juga perlu menahan apa-apa bayaran yang kena dibayar kepada pekerja sehingga Surat Penyelesaian Cukai (SPC) dari Cawangan Penaksiran diterima jika pemberhentian berlaku seperti kes di atas.
Walau bagaimanpun, majikan tidak perlu mengemukakan notis pemberhentian pekerja dan menahan bayaran kepada pekerja sekiranya :

  1. Pekerja tersebut tertakluk kepada PCB dan potongan telah dibuat oleh majikan.
  2. Saraan pekerja berkenaan adalah kurang daripada amaun pendapatan yang tertakluk kepada PCB.
  3. Majikan mengetahui yang pekerja tersebut akan bekerja dengan majikan lain di Malaysia.

Borang yang boleh digunapakai untuk memaklumkan mengenai pemberhentian pekerja adalah :

  1. CP22A Borang ini digunakan bagi pekerja swasta
  2. CP22B Borang ini digunakan bagi pekerja kerajaan.

Majikan perlu melengkapkan Borang CP21 dan menghantar ke Cawangan Penaksiran di mana fail pekerja tersebut berada. Borang ini boleh dimuat turun di laman web utama dan klik pada ikon Borang.

Majikan juga perlu menahan apa-apa bayaran yang akan dibuat kepada pekerja sehingga Surat Penyelesaian Cukai (SPC) dari Cawangan Penaksiran diterima.
Akan tetapi, sekiranya pemergian pekerja tersebut adalah bagi tempoh yang kerap dalam perjalanan penggajiannya, maka majikan tidak perlu menghantar CP21 ke LHDNM dan menahan apa-apa bayaran kepada pekerja.

Kegagalan majikan memaklumkan kepada LHDNM adalah menjadi satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda tidak kurang dari RM200 dan tidak melebihi RM2000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali [Seksyen 120(1), Akta Cukai Pendapatan, 1967].

Selain itu, majikan juga akan bertanggungjawab membayar semua cukai tertunggak pekerja-pekerja berkenaan. [Seksyen 107(4), Akta Cukai Pendapatan 1967].

Taraf Kemastautinan Pekerja

Taraf kemastautinan seseorang adalah ditentukan di bawah peruntukan seksyen 7 Akta.

Penjawat awam atau pegawai badan berkanun yang bukan pemastautin oleh sebab:

  1. menjalankan tugas di luar Malaysia; atau
  2. melanjutkan pelajaran di institusi atau badan profesional di luar Malaysia yang dibiayai sepenuhnya oleh majikannya,

dianggap sebagai seorang pemastautin dalam tahun asas untuk tahun taksiran itu dan tahun-tahun asas yang berikutnya semasa ketiadaannya di Malaysia.

Pendapatan daripada punca luar Malaysia yang diterima oleh seseorang dalam (a) atau (b) di atas adalah dikecualikan daripada cukai pendapatan di Malaysia menurut Akta.

  1. Pekerja Bukan Pemastautin

PCB seorang pekerja yang bukan pemastautin atau tidak dipastikan taraf kemastautinannya di Malaysia hendaklah dikira pada kadar 26% daripada saraannya.

Contoh :

Pekerja yang bukan pemastautin dalam tahun kalendar 2010.

Jumlah saraan bulanan : RM3,000.00
Pengiraan PCB : RM3,000.00 x 26%
Jumlah PCB : RM780.00

  1. Pekerja Pemastautin

PCB seseorang pekerja yang bermastautin atau dianggap bermastautin di Malaysia, diperolehi setelah ditolak semua potongan yang dibenarkan di bawah Akta.

Meminda Potongan Cukai Berjadual

PCB bagi pekerja yang yang tidak bermastautin atau tidak dapat dipastikan taraf pemastautinnya di Malaysia adalah dikenakan pada kadar 26% mulai tahun taksiran 2010 sehingga bulan di mana pekerja tersebut telah bermastautin di Malaysia.

Seorang pekerja boleh memohon kepada majikan untuk membuat potongan tambahan kepada bayaran PCB sediada sekiranya mereka merasakan potongan yang dibuat tidak mencukupi untuk menampung cukai tahunan yang sebenar tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada LHDNM.

Pekerja Tidak Tertakluk Kepada PCB Tetapi Layak Dikenakan Cukai

Bagi pekerja yang saraan tidak tertakluk kepada PCB tidak semestinya mereka tidak layak dikenakan cukai. Oleh yang demikian, bagi mereka yang memperolehi saraan bulanan (selepas ditolak potongan-potongan yang dibenarkan) di antara RM2,101.00 hingga RM2,350.00 adalah tertakluk kepada cukai pendapatan.
Pihak majikan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada LHDNM yang berdekatan supaya fail didaftarkan untuk pekerja berkenaan dengan mengisi borang CP22.

Pekerja juga perlu mendaftarkan fail mereka sekiranya majikan tidak membuat pendaftaran fail cukai bagi pihak pekerja.

Kemaskini(Updated) : 21 Jun,2011Dilawati / Hit(s) : 134,957
Pengunjung Online: 38    China Flag 1    France Flag 1    Indonesia Flag 1    MALAYSIA Flag 29    Pakistan Flag 1    United States Flag 5   
Pengunjung: 78,064,663 Hari Ini : 4,023,760 Pengunjung Bulan Ini (12/2014) : 0Pengunjung Bulan Lepas (11/2014) : 0
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Keselamatan Online | Webmaster
PENAFIAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Terjemahan ke bahasa ketiga merupakan terjemahan terus dari laman web LHDNM versi Bahasa Melayu. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna bahasa lain menggunakan laman web ini.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800.
Hak Cipta Terpelihara 2009 © LHDNM3