Logo_LHDN
Portal Rasmi
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Bersama Membangun Negara
Jata_Negara
Utama » Duti Setem
print text

Duti Setem ialah cukai yang dikenakan ke atas surat cara yang disenaraikan di bawah Jadual Pertama Akta Setem 1949. Pada amnya duti setem dikenakan ke atas surat cara-surat cara jenis undang-undang, komersial dan urusan kewangan.

Taksiran dan Pungutan Duti Setem adalah diperuntukkan oleh undang-undang statut yang dikenali sebagai Akta Setem 1949.

JENIS DUTI

Di bawah undang-undang duti setem terdapat dua (2) jenis duti iaitu :

  1. Duti Ad Valorem
    Duti yang dikenakan berdasarkan nilai yang dinyatakan dalam surat cara atau nilai pasaran yang berkaitan.
    Pengenaan Duti Ad Valorem (iaitu mengikut nilai) ke atas :

    1. Surat cara pemindahan (secara jualan atau hadiah) hartanah termasuk sekuriti yang boleh dipasarkan (iaitu stok pinjaman dan saham syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia Berhad), saham-saham syarikat yang lain dan harta tak ketara contohnya hutang buku, hak disisi undang-undang dan nama baik;

    2. Surat cara yang mewujudkan kepentingan ke atas harta seperti penyewaan dan pajakan berkanun

    3. Surat cara yang menjamin bayaran dan bayaran balik wang termasuk surat cara yang mewujudkan kontrak untuk pembayaran atau tanggungan untuk pembayaran.

    4. Surat cara pasaran modal yang tertentu contohnya Nota Kontrak.

  2. Duti Tetap
    Duti yang dikenakan tanpa ada kaitan dengan balasan atau amaun yang dinyatakan dalam surat cara.

    1. Lain-lain surat cara perundangan, perniagaan, perdagangan atau pasaran modal contohnya Surat Kuasa Wakil, Perkara-perkara Persatuan bagi Syarikat, Nota Janji Hutang, Polisi Insurans dan sebagainya; dan

    2. Surat cara pendua atau subsidiari atau kolateral dengan syarat ia dapat ditunjukkan bahawa surat cara asal atau utama atau prinsipal telah disetemkan dengan sempurna

MENGENALPASTI TANGGUNGAN

Di bawah peruntukan Seksyen 36 (mulai 01.01.2009) semua surat cara yang disempurnakan oleh seseorang di Malaysia hendaklah dikemukakan kepada Pemungut untuk ditaksir duti setem.
  1. Langkah pertama adalah untuk mengenal pasti jenis surat cara dan pengenaannya. Bagi kes-kes surat cara yang standard, kandungan makna yang betul dan sebenarnya menentukan peraturan dan klasifikasi. Huraian yang dinyatakan di dalam surat cara itu sendiri tidak membawa apa-apa kesan.

Bagi kes-kes surat cara bukan standard, klasifikasinya ditentukan melalui kandungan surat cara tersebut sebagaimana yang di tafsir melalui pemeriksaan hak dan obligasi yang diwujudkan. Contoh di mana peraturan ini terpakai termasuklah surat cara yang memberi kesan kepada perlucutan hak atau kepentingan ke atas harta melalui `Declaration of Trust` atau `Deed of Family Arrangement` atau melalui `Jualan` atau melalui `Hadiah` atau `Sekuriti`.

  1. Langkah kedua melibatkan keterangan liabiliti bagi surat cara standard di mana suatu surat cara dikenakan duti setem di bawah dua (2) butiran yang berlainan. Ia diperuntukkan bahawa perkara-perkara yang berasingan termasuk balasan yang berasingan boleh dikenakan duti yang berasingan.

  2. Langkah ketiga surat cara bukan standard yang dikenakan duti ad valorem. Surat cara ini memerlukan pemeriksaan dan di mana perlu, penilaian balasan iaitu harga yang dijanjikan atau tindakan yang akan dilaksanakan oleh surat cara tersebut.

Prinsip utama dalam pemakaian undang-undang duti setem ialah duti dikenakan ke atas surat cara dan bukan transaksi. Sebagai contohnya perjanjian lisan tidak dikenakan duti.

ADJUDIKASI SURAT CARA

a. Tujuan adjudikasi

Satu permohonan untuk menentukan amaun duti yang kena dibayar ke atas mana-mana surat cara yang disempurnakan boleh dibuat kepada Pemungut. Untuk tujuan ini, pemungut memerlukan surat cara dikemukakan bersama dokumen lain yang berkaitan atau lain-lain bukti. Permohonan boleh ditolak oleh pemungut sehingga dokumen yang diperlukan dikemukakan.

Tujuan adjudikasi adalah untuk memastikan sesuatu surat cara telah disetemkan dengan duti yang secukupnya. Surat cara yang tidak disetemkan dengan sempurna tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah.

b. Adjudikasi Suratcara

Berkuat kuasa 1hb Januari 2009, bayaran adjudikasi surat cara RM10 tidak lagi dikenakan.


TANGGUNGJAWAB SETIAUSAHA SYARIKAT/PENDAFTAR

Seksyen 52(1) Akta Setem 1949 melarang pendaftaran, penerimaan atau pengiktirafan mana-mana surat cara yang tidak disetemkan dengan sempurna. Sekiranya tugas anda termasuk mendaftar, menerima atau mengiktiraf surat cara pindah milik syer dan surat ikatan penyerahhakan, sila hubungi Timbalan Pemungut Duti Setem untuk menentukan sama ada surat cara tersebut dikenakan duti tetap atau duti ad valorem.

Kegagalan untuk mematuhi seksyen tersebut boleh dikenakan hukuman bawah seksyen 69(2) dengan denda yang tidak melebihi RM1500

TANGGUNGJAWAB PEGUAM

Sekiranya terdapat sebarang keraguan terhadap perkara-perkara teknikal atau prosedur-prosedur, sila hubungi Timbalan Pemungut Duti Setem untuk mendapatkan penjelasan. Kerani atau penghantar dokumen tidak sepatutnya diarah untuk mewakili syarikat dalam isu-isu teknikal dan prosedur-prosedur mengenai pengenaan setem. Sila pastikan juga prosedur bayaran di Pejabat Setem Cawangan / Pusat Khidmat Hasil dipatuhi dengan mengemukakan cek clients' account yang tidak bermasalah.

PENALTI (DUTI SETEM)

Pada amnya, sesuatu dokumen hendaklah disetemkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh ianya disempurnakan dalam Malaysia atau dalam tempoh 30 hari selepas ia diterima dalam Malaysia sekiranya ia disempurnakan di luar Malaysia.
Sekiranya ia tidak disetemkan dalam tempoh yang ditetapkan, penalti yang boleh dikenakan adalah seperti berikut;

  1. RM25.00 atau 5% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan dalam tempoh 3 bulan selepas masa untuk penyeteman;

  2. RM50.00 atau 10% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas tempoh 3 bulan tetapi tidak lewat daripada 6 bulan selepas masa untuk penyeteman;

  3. RM100.00 atau 20% daripada duti yang berkurangan, yang mana lebih tinggi, sekiranya ia disetemkan selepas 6 bulan selepas masa untuk penyeteman;

(Kadar di atas berkuat kuasa mulai dari 01/01/2003)

CARA PEMBAYARAN

Pembayaran boleh dibuat dengan cara :

  1. Wang tunai (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM100) atau

  2. Setem Hasil (jika duti atas sesuatu dokumen tidak melebihi RM500) atau

  3. Kiriman Wang, Cek Peguam atau Draf Bank di atas nama Pemungut Duti Setem dan hendaklah disertakan bersama-sama dengan surat cara yang berkenaan kepada pejabat setem secara serahan tangan atau melalui surat berdaftar.

PELEPASAN DUTI SETEM

Pelepasan boleh diberikan dibawah peruntukan Seksyen 15 dan Seksyen 15A Akta Setem 1949 :

PINDAAN TERKINI KEPADA AKTA SETEM 1949

PERINTAH DUTI SETEM

Tahun 2007 - Perintah Duti Setem (Peremitan)

Tahun 2008 - Perintah Duti Setem (Peremitan)

Tahun 2009 - Perintah Duti Setem (Peremitan)

Tahun 2009 - Perintah Duti Setem (Pengecualian)

Tahun 2010 - Perintah Duti Setem (Pengecualian)



Kemaskini(Updated) : 21 Jun,2011Dilawati / Hit(s) : 226,313
Pengunjung Online: 31    Brazil Flag 1    MALAYSIA Flag 19    Singapore Flag 3    United States Flag 7    South Africa Flag 1   
Pengunjung: 73,614,369 Hari Ini : 190 Pengunjung Bulan Ini (09/2014) : 814,864Pengunjung Bulan Lepas (08/2014) : 1,167,633
Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Keselamatan Online | Webmaster
PENAFIAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Terjemahan ke bahasa ketiga merupakan terjemahan terus dari laman web LHDNM versi Bahasa Melayu. Ia bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna bahasa lain menggunakan laman web ini.
Paparan terbaik menggunakan pelayar Internet Explorer 8.0 atau Mozilla Firefox dengan resolusi skrin 1280x800.
Hak Cipta Terpelihara 2009 © LHDNM