Ketetapan Umum No. 7/2000

MEMBERI KEMUDAHAN DAN BANTUAN YANG MUNASABAH

1.0 UNDANG-UNDANG CUKAI

Ketetapan ini digunapakai bagi seksyen 80 Akta Cukai Pendapatan, 1967.

2.0 PEMAKAIAN KETETAPAN INI

Ketetapan ini mempertimbangkan:

    2.1
apakah kemudahan dan bantuan yang perlu diberikan oleh seseorang kepada Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa;

    2.2.
akibat kegagalan memberi kemudahan dan bantuan tersebut.

3.0 BAGAIMANA UNDANG-UNDANG CUKAI DIGUNAPAKAI

    3.1
Seseorang hendaklah memberi kemudahan dan bantuan yang munasabah kepada Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa apabila menjalankan kuasa akses yang bebas dan sepenuhnya ke atas segala tanah, bangunan dan tempat dan segala buku dan dokumen, untuk menggeledah tanah, bangunan dan tempat tersebut atau untuk membuat salinan atau membuat petikan daripada mana-mana buku atau dokumen itu tanpa membuat apa-apa bayaran.

    3.2
Ketetapan ini memberi garis panduan am tentang kemudahan dan bantuan yang perlu disediakan kepada Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa.

    3.3
Kemudahan dan Bantuan

3.3.1
Akses yang bebas dan sepenuhnya ke atas tanah, bangunan dan tempat lain hendaklah diberi kepada Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa dengan serta-merta apabila permintaan dibuat kepada tuan punya dan / atau penghuni. Apa-apa halangan atau rintangan kepada akses hendaklah dialihkan.

3.3.2
Penerangan berhubung sistem pejabat dan sistem perakaunan hendaklah diberi jika diperlukan. Panduan perakaunan, carta dan kod akaun termasuk manual komputer dan perisian hendaklah disediakan. Akses juga hendaklah diberi ke atas rekod, dokumen dan buku akaun fizikal dan / atau elektronik.

3.3.3
Maklumat hendaklah diberi berhubung tempat simpanan rekod dan bantuan juga hendaklah diberi bagi mengenal pasti dan mendapatkan dokumen, rekod dan buku akaun yang diminta oleh Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa.

3.3.4
Kemudahan seperti mesin penyalin, telefon atau peralatan komunikasi lain, lampu dan kuasa eletrik, ruang pejabat dan perabot hendaklah disediakan. Kemudahan juga hendaklah diberi untuk membuat salinan rekod elektronik melalui pita, cakera atau disket.

    3.4
Akibat Jika Kemudahan atau Bantuan yang Munasabah Tidak Diberi


Kegagalan untuk memberi kemudahan atau bantuan yang munasabah atau kedua-duanya kepada Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa dalam melaksanakan tugasnya adalah merupakan kesalahan di bawah Akta. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 atau di penjara untuk jangka masa sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.

4.0 INTERPRETASI

Bagi maksud ketetapan ini:
    4.1
"Pegawai yang diberi kuasa" ialah pegawai awam atau pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia yang diberi kuasa secara bertulis untuk melaksanakan sebarang fungsi Ketua Pengarah di bawah Akta.

    4.2
"Penghuni" termasuk penyewa / pemajak atau sesiapa yang memegang secara fizikal dan / atau mengawal tanah, bangunan atau tempat, atau sebahagian daripadanya, pada masa permintaan untuk akses dibuat oleh Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa.

    4.3
"Rekod, dokumen dan buku akaun elektronik" termasuk rekod, dokumen dan buku akaun yang disimpan dalam apa jua media elektronik.

    4.4
"Seseorang" termasuk syarikat, koperasi, perkongsian, kelab, persatuan, keluarga sekutu Hindu, pemegang amanah, pentadbir harta pusaka, individu, dan wakil, ejen, ahli keluarga, pekerja atau orang gaji kepada mana-mana orang di atas.

    4.5
"Tuan punya" bermaksud pemegang atau pemilik (sama ada pemilik benefisial atau pemilik sah di sisi undang-undang) tanah, bangunan atau tempat, buku, rekod atau dokumen, atau sebahagian daripadanya, yang mana akses telah diminta oleh Ketua Pengarah atau pegawai yang diberi kuasa.

(Tarikh Pengeluaran: 16/06/2000)