Ketetapan Umum No. 6/2000 (Dipinda)

PENYIMPANAN REKOD YANG MENCUKUPI (ORANG SELAIN DARIPADA SYARIKAT, KOPERASI ATAU INDIVIDU)

1.0 UNDANG-UNDANG CUKAI

Ketetapan ini menjelaskan pemakaian Seksyen 82, Akta Cukai Pendapatan 1967. Ia berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2001 dan tahun taksiran seterusnya. Ketetapan yang dipinda ini menggantikan Ketetapan Umum No. 6/2000 bertarikh 1 Mac 2000.

2.0 PEMAKAIAN KETETAPAN INI

Ketetapan ini menjelaskan:

    2.1
apa yang dimaksudkan rekod yang mencukupi yang perlu disimpan oleh orang selain daripada syarikat, koperasi atau individu; dan


    2.2.
akibat kegagalan menyimpan rekod yang mencukupi

3.0 BAGAIMANA UNDANG-UNDANG CUKAI DIGUNAPAKAI

    3.1
Orang selain daripada syarikat, koperasi atau individu [selepas ini disebutkan sebagai orang tersebut] [rujuk perenggan 4.1] adalah dikehendaki di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 [selepas ini disebutkan sebagai Akta] untuk menyimpan dengan selamat rekod yang mencukupi bagi membolehkan pendapatan atau kerugian daripada perniagaan atau lebihan / kurangan pendapatan daripada aktiviti orang tersebut ditentukan dengan mudah untuk tempoh asas bagi mana-mana tahun taksiran.

    3.2
Ketetapan ini memberi garispanduan am tentang rekod [ rujuk perenggan 4.2 ] yang perlu disimpan bagi maksud cukai pendapatan.

    3.3
Rekod dan buku akaun

        3.3.1
    Keperluan am

    Orang tersebut hendaklah menyimpan rekod termasuk buku tunai, lejer jualan, lejer belian dan lejer am. Jenis buku akaun yang perlu disimpan bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan atau aktiviti. Keperluan berikut hendaklah dipatuhi:

    A. Buku akaun hendaklah direkod pada jangkawaktu yang tetap. Catatan yang sesuai bagi setiap transaksi hendaklah dibuat secepat mungkin (iaitu, tidak melebihi 60 hari dari tarikh transaksi).

    B. Dokumen sokongan seperti invois, penyata bank, slip bayaran masuk, pangkal cek, resit bayaran, rekod bayaran gaji dan salinan resit yang dikeluarkan hendaklah disimpan.

    C. Resit yang dikeluarkan hendaklah mempunyai nombor bersiri. Jika perolehan kasar untuk setahun melebihi RM150,000 daripada jualan barang dagangan atau melebihi RM100,000 daripada pemberian perkhidmatan, resit yang dikeluarkan mesti mempunyai nombor bersiri.

    D. Penilaian stok perdagangan atau kerja dalam kemajuan perlu dilakukan pada akhir tempoh perakaunan dan rekod yang sesuai disimpan.


        3.3.2
    Rekod yang mencukupi

    Rekod dalam bentuk bertulis atau elektronik hendaklah mencukupi bagi menerangkan setiap transaksi dan membolehkan akaun untung rugi atau akaun pendapatan & perbelanjaan dan kunci kira-kira yang benar dan saksama disediakan.

        3.3.3
    Rekod diselenggarakan dalam bentuk elektronik

    Jika komputer digunakan bagi merekod transaksi, dokumen sumber asal seperti invois dan resit hendaklah disimpan dalam bentuk asalnya. Jika dokumen asal adalah dalam bentuk elektronik, ianya boleh disimpan sedemikian. Namun begitu, rekod ini hendaklah disimpan dalam bentuk yang boleh dibaca secara elektronik serta mudah untuk diakses dan ditukar kepada bentuk bertulis.

        3.3.4
    Tempat penyimpanan rekod

    Rekod yang berkaitan dengan sebarang perniagaan atau aktiviti di Malaysia mesti disimpan di pejabat berdaftar atau premis perniagaan orang tersebut di Malaysia. Jika rekod bagi perniagaan atau aktiviti di luar Malaysia adalah disimpan di luar Malaysia, rekod itu hendaklah dibawa ke pejabat berdaftar atau premis perniagaan di Malaysia, apabila diminta oleh Ketua Pengarah [ KP] [rujuk perenggan 4.3].

        3.3.5
    Tempoh penyimpanan rekod

    A. Melainkan jika perenggan kecil B atau C di bawah digunapakai, rekod bagi mana-mana pendapatan perniagaan atau aktiviti perlu disimpan sekurang-kurangnya 7 tahun dari akhir tahun di mana pendapatan itu dikaitkan.

    Contoh
    Tahun kewangan sebuah persatuan perdagangan adalah tahun yang berakhir 30.06.2002.

    Rekod persatuan perdagangan bagi tahun kewangan yang berakhir 30.06.2002 hendaklah disimpan sehingga 31.12.2009 [iaitu, 7 tahun dari akhir tahun 2002 (tahun di mana rekod dikaitkan)].

    B. Jika penyata bagi suatu tahun taksiran [ T/T] tidak dikemukakan dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam Akta, rekod berkenaan hendaklah disimpan untuk tempoh 7 tahun dari akhir tahun di mana penyata dikemukakan.

    Contoh
    Tahun kewangan sebuah persatuan perdagangan adalah tahun yang berakhir 31.03.2001. Persatuan perdagangan itu mengemukakan penyatanya bagi T/T 2001 pada 23.05.2003.

    Rekod persatuan perdagangan bagi tahun kewangan yang ber-akhir 31.03.2001 hendaklah disimpan sehingga 31.12.2010 [iaitu, 7 tahun dari akhir tahun 2003 (tahun di mana penyata dikemukakan), dan bukan dari akhir tahun 2001 (tahun di mana rekod dikaitkan)].

    C. Jika terdapat rayuan terhadap suatu taksiran, rekod yang relevan perlu disimpan sehingga rayuan itu selesai.

        3.3.6
    Rekod hendaklah ditulis dalam bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris

    Rekod hendaklah ditulis dalam bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris. Jika rekod ditulis dalam bahasa selain daripada bahasa kebangsaan atau Bahasa Inggeris, terjemahan yang bertulis hendaklah disediakan atas tanggungan orang tersebut, apabila diminta oleh KP.


    3.4
Akibat kegagalan menyimpan rekod yang mencukupi

        3.4.1
    Orang tersebut boleh dikehendaki oleh KP supaya akaunnya diaudit oleh akauntan profesional atas tanggungan orang tersebut.

        3.4.2
    Pendapatan tercukai orang tersebut boleh ditentukan mengikut pertimbangan Ketua Pengarah dan taksiran dibangkitkan sewajarnya.

        3.4.3
    Karta keluarga sekutu Hindu, pemegang amanah bagi badan amanah, wasi atau pentadbir harta pusaka, atau pengurus atau bendahari atau setiausaha atau ahli jawatankuasa kelab atau persatuan boleh didakwa dan, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM300 dan tidak lebih dari RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
4.0 INTERPRETASI

Bagi maksud Ketetapan ini:
    4.1
"Orang selain daripada syarikat, koperasi atau individu" termasuk keluarga sekutu Hindu, badan amanah, harta pusaka di bawah pentadbiran, kelab dan persatuan.

    4.2
"Rekod" termasuk:

4.2.1 buku akaun yang merekod penerimaan dan pembayaran atau pendapatan dan perbelanjaan;

4.2.2 invois, baucer, resit dan sebarang dokumen lain yang perlu untuk mengesahkan mana-mana perkara yang dimasukkan dalam buku akaun; dan

4.2.3 sebarang rekod lain yang ditetapkan oleh KP.


    4.3
"Ketua Pengarah" bermaksud Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dan termasuk mana-mana pekerja Lembaga Hasil Dalam Negeri yang diberi kuasa sewajarnya oleh beliau.
[Tarikh Keluaran: 30 Jun 2001 ]