Ketetapan Umum No.3/2000

TEMPOH ASAS BAGI SUATU PUNCA PERNIAGAAN (INDIVIDU & ORANG SELAIN DARIPADA SYARIKAT / KOPERASI)


1.0 UNDANG-UNDANG CUKAI

Ketetapan ini menjelaskan pemakaian Seksyen 20 dan 21 Akta Cukai Pendapatan, 1967. Ia berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2000 bagi tempoh asas berakhir dalam tahun 2000 dan tahun-tahun taksiran seterusnya.


2.0 PEMAKAIAN KETETAPAN INI

Ketetapan ini menjelaskan:

    2.1
tempoh asas bagi individu atau orang selain daripada syarikat / koperasi yang memulakan perniagaan baru;

    2.2
tempoh asas bagi individu atau orang selain daripada syarikat / koperasi yang menukar tarikh perakaunan bagi perniagaannya yang sedia wujud;

    2.3
tempoh asas bagi individu yang menyertai suatu perkongsian;


3.0 BAGAIMANA UNDANG-UNDANG CUKAI DIGUNAPAKAI

    3.1
Cukai pendapatan dikenakan bagi suatu tahun taksiran.

    3.2
Tahun asas bagi sesuatu tahun taksiran bagi sesuatu punca perniagaan adalah tempoh asas bagi tahun taksiran itu.

Contoh:
Seorang individu menyediakan akaunnya bagi tempoh 01.01.2001 hingga 31.12.2001.

Tahun asas berakhir 31.12.2001 adalah tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 bagi punca perniagaan individu tersebut.

    3.3
Jika akaun disediakan untuk tempoh 12 bulan berakhir pada suatu tarikh selain daripada 31 Disember dalam suatu tahun asas, tempoh perakaunan itu adalah tempoh asas bagi tahun taksiran dalam mana akaun itu ditutup.

Contoh:
Seorang individu menyediakan akaun bagi tempoh 01.07.2000 hingga 30.06.2001.

Tempoh dari 01.07.2000 hingga 30.06.2001 adalah tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 bagi punca perniagaan individu tersebut.

    3.4
Permulaan Perniagaan

        3.4.1
    Akaun berakhir pada 31 Disember

    Jika sesuatu perniagaan dimulakan dan akaunnya disediakan dari tarikh perniagaan bermula hingga 31 Disember tahun yang sama, tempoh perakaunan itu adalah tempoh asas bagi tahun taksiran yang pertama.

    Contoh:
    Seorang individu memulakan perniagaan pada 11.05.2001 dan akaunnya ditutup pada 31.12.2001.

    Tempoh perakaunan 11.05.2001 hingga 31.12.2001 itu adalah tempoh asas bagi tahun taksiran 2001.

        3.4.2
    Akaun disediakan untuk tempoh 12 bulan

    Jika sesuatu perniagaan dimulakan dan akaunnya disediakan untuk tempoh 12 bulan, tempoh perakaunan itu adalah tempoh asas bagi tahun taksiran dalam mana akaun ditutup.

    Contoh:
    Akaun pertama seorang individu disediakan bagi tempoh 01.07.2000 hingga 30.6.2001.

    Tempoh perakaunan 01.07.2000 hingga 30.06.2001 adalah tempoh asas bagi tahun taksiran 2001. Tidak ada tempoh asas bagi tahun taksiran 2000.

        3.4.3
    Akaun disediakan bagi tempoh kurang atau lebih daripada 12 bulan dan tidak berakhir pada 31 Disember

    Jika sesuatu perniagaan dimulakan dan akaunnya disediakan untuk tempoh kurang atau lebih daripada 12 bulan dan akaun itu tidak berakhir pada 31 Disember, tempoh asas bagi suatu tahun taksiran adalah tahun berakhir pada 31 Disember setiap tahun sehinggalah akaun disediakan untuk tempoh perakaunan 12 bulan.

    Contoh 1:
    Seorang individu memulakan perniagaan pada 26.06.2000 dan akaun disediakan untuk tempoh hingga 30.04.2001 (10 bulan) dan seterusnya hingga 30.04.2002.

    Bagi tahun taksiran 2000, tempoh asas adalah 26.06.2000 hingga 31.12.2000.

    Bagi tahun taksiran 2001, tempoh asas adalah 01.01.2001 hingga 31.12.2001.

    Bagi tahun taksiran 2002, tempoh asas adalah 01.05.2001 hingga 30.04.2002.

    Contoh 2:
    Seorang individu memulakan perniagaan pada 26.06.2000 dan akaun disediakan untuk tempoh hingga 30.09.2001 (15 bulan) dan seterusnya hingga 30.9.2002.

    Bagi tahun taksiran 2000, tempoh asas adalah 26.06.2000 hingga 31.12.2000.

    Bagi tahun taksiran 2001, tempoh asas adalah 01.01.2001 hingga 31.12.2001.

    Bagi tahun taksiran 2002, tempoh asas adalah 01.10.2001 hingga 31.09.200 2.

    3.5
Pertukaran Tarikh Perakaunan

        3.5.1
    Akaun biasa berakhir pada 31 Disember

    Jika akaun biasanya ditutup pada 31 Disember dan berlaku pertukaran tarikh perakaunan, tempoh asas dalam tahun berlakunya pertukaran adalah tahun berakhir 31 Disember.

    Contoh:
    Seorang individu biasanya menyediakan akaun berakhir pada 31 Disember. Beliau menukar tarikh perakaunannya kepada 30 September dan menyediakan akaun seperti berikut: 01.01.2001 hingga 30.09.2001 dan seterusnya hingga 30 September tiap-tiap tahun.

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 adalah 01.01.2001 hingga 31.12.2001.

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2002 adalah 01.10.2001 hingga 30.09.2002.

        3.5.2
    Akaun biasa tidak berakhir pada 31 Disember dan akaun baru kurang daripada 12 bulan:

            A .
    Aka un baru berakhir dalam tahun berikutnya

    Tempoh perakaunan baru itu adalah tempoh asas bagi tahun taksiran dalam tahun gagal.

    Contoh:
    Akaun seorang individu biasanya disediakan untuk tempoh berakhir pada 30 September. Individu itu menukar tarikh perakaunannya dan akaun kini ditutup pada 31 Mac. Akaun disediakan seperti berikut: 01.10.1999 hingga 30.09.2000, 01.10.2000 hingga 31.03.2001 (6 bulan), dan hingga 31 Mac untuk tahun-tahun seterusnya.

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 adalah 01.10.2000 hingga 31.03.2001 (6 bulan).

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2002 adalah 01.04.2001 hingga 31.03.2002.

            B.
    Akaun baru dan akaun terakhir berakhir dalam tahun yang sama

    Tempoh perakaunan baru bersama dengan tempoh perakaunan berikutnya adalah tempoh asas bagi tahun taksiran dalam tahun gagal.

    Contoh:
    Akaun seorang individu biasanya disediakan untuk tempoh berakhir pada 30 Jun. Beliau menukar tarikh perakaunannya dan akaun kini ditutup pada 31 Disember. Akaun disediakan seperti berikut: 01.07.1999 hingga 30.06.2000, 01.07.2000 hingga 31.12.2000 (6 bulan), 01.01.2001 hingga 31.12.2001, dan hingga 31 Disember untuk tahun-tahun seterusnya.

    Tempoh perakaunan baru 01.07.2000 hingga 31.12.2000 dan tempoh perakaunan terakhir 01.07.1999 hingga 30.06.2000 berakhir dalam tahun asas yang sama.

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 adalah 01.07.2000 hingga 31.12.2001 (18 bulan).

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2002 adalah 01.01.2002 hingga 31.12.2002.

    [Rasional menentukan tempoh asas bagi 2 situasi di atas adalah supaya tiada tempoh perakaunan atau tahun taksiran yang tertinggal dan tidak berlaku tempoh asas yang bertindih.]

        3.5.3
    Akaun biasa tidak berakhir pada 31 Disember dan akaun baru melebihi 12 bulan:
            A .
    Akaun baru berakhir dalam tahun berikutnya

    Tempoh perakaunan baru itu adalah tempoh asas bagi tahun taksiran dalam tahun gagal.

    Contoh:
    Akaun seorang individu biasanya disediakan untuk tempoh berakhir pada 31 Julai. Beliau menukar tarikh perakaunannya dan akaun kini ditutup pada 31 Oktober. Akaun disediakan bagi tempoh 01.08.2000 hingga 31.10.2001 (15 bulan), dan hingga 31 Oktober bagi tahun-tahun seterusnya.

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 adalah 01.08.2000 hingga 31.10.2001 (15 bulan).

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2002 adalah 01.11.2001 hingga 31.10.2002.

            B.
    Akaun baru berakhir dalam tahun ketiga

    Jika tempoh perakaunan baru menjangkaui tiga tahun asas, tempoh perakaunan baru itu akan dibahagikan kepada dua tempoh yang sama-rata dan kedua-dua tempoh itu diambil sebagai tempoh asas bagi dua tahun taksiran pertama bermula dalam tahun gagal.

    Contoh:
    Akaun seorang individu biasanya disediakan untuk tempoh berakhir pada 30 November. Terdapat kegagalan menutup akaun pada tarikh perakaunan biasa dan akaun disediakan untuk tempoh lebih 12 bulan dari 01.12.2000 hingga 28.02.2002 (15 bulan), dan hingga 28 Februari bagi tahun-tahun seterusnya.

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 adalah 01.12.2000 hingga 31.07.2001 (8 bulan )

    Tempoh asas bagi tahun taksiran 2002 adalah 01.08.2001 hingga 28.02.2002 (7 bulan).

    [Rasional menentukan tempoh asas bagi 2 situasi di atas adalah supaya tiada tempoh perakaunan atau tahun taksiran yang tertinggal dan tidak berlaku tempoh asas yang bertindih. Mana-mana bahagian sesuatu bulan dianggap terjatuh ke dalam tempoh pertama.]

    3.6.
Individu Menyertai Suatu Perkongsian.

        3.6.1
    Menyertai suatu perkongsian baru

    Jika seorang individu menyertai perkongsian baru, tempoh asas bagi individu itu berhubung dengan punca perkongsiannya ditentukan sama seperti dalam subperenggan 3.4.1, 3.4.2 atau 3.4.3.

    Contoh:
    Seorang individu menyertai suatu perkongsian baru yang memulakan perniagaan pada 18.02.2001. Akaun pertama disediakan untuk tempoh hingga 30.09.2001 dan seterusnya hingga 30 September tiap-tiap tahun.

    T empoh asas bagi punca perkongsian individu tersebut adalah:

    Tahun Taksiran 2001 18.02.2001 hingga 31.12.2001

    Tahun Taksiran 2002 01.10.2001 hingga 30.09.2002

        3.6.2
    Menyertai suatu perkongsian yang sedia wujud dan tarikh perakaunan biasa perkongsian itu dikekalkan

    Jika seorang individu menyertai suatu perkongsian sedia wujud dan akaun perkongsian itu terus disediakan mengikut tarikh perakaunan yang biasa, tempoh asas pertama bagi individu itu berhubung dengan punca perkongsiannya adalah daripada tarikh individu itu menyertai perkongsian hingga tarikh akaun perkongsian itu ditutup.

    Contoh:
    Seorang individu menyertai EFG, suatu perkongsian sedia wujud, pada 01.02.2000. Akaun perkongsian biasanya disediakan hingga 31 Mac. Akaun bagi perkongsian itu terus disediakan untuk tempoh hingga 31.03.2000.

    Tempoh asas bagi individu itu berhubung dengan punca perkongsian adalah 01.02.2000 hingga 31.03.2000 bagi tahun taksiran 2000.

        3.6.3
    Menyertai suatu perkongsian yang sedia wujud dan tarikh perakaunan biasa ditukar

    Jika seorang individu menyertai suatu perkongsian yang sedia wujud dan perkongsian itu menukar tarikh perakaunan biasanya, perkongsian itu dianggap sebagai suatu perkongsian baru bagi individu itu, dan tempoh asas bagi punca perkongsian ditentukan sama seperti dalam subperenggan 3.4.1, 3.4.2 atau 3.4.3.

        3.6.4
    Suatu perniagaan milik tunggal menjadi suatu perkongsian dan akaunnya terus disediakan hingga tarikh perakaunan biasa perniagaan milik tunggal itu

    Jika seorang individu menyertai pemilik tunggal suatu perniagaan untuk menubuhkan satu perkongsian, tempoh asas pertama bagi individu itu berhubung perniagaan perkongsian adalah daripada tarikh individu itu menyertai perkongsian hingga tarikh akaun perkongsian ditutup.

    Contoh:
    Pada 01.03.2000 Encik J menyertai Encik K, pemilik tunggal suatu perniagaan barangan logam, untuk menubuhkan Perkongsian JK. Akaun perniagaan milik tunggal biasanya disediakan bagi tempoh berakhir 30 Jun. Akaun pertama Perkongsian JK disediakan bagi tempoh 01.03.2000 hingga 30.06.2000.

    Tempoh asas bagi Encik J dan Encik K berhubung dengan punca perkongsian adalah 01.03.2000 hingga 30.06.2000 bagi tahun taksiran 2000.



4.0 INTERPRETASI

Bagi maksud ketetapan ini:
    4.1
Jika terdapat pertindihan tempoh bagi dua tempoh asas, pendapatan larasan atau kerugian larasan yang sama bagi kedua-dua tempoh asas itu akan diketepikan dalam tempoh asas kedua.

    4.2
Jika pertukaran tarikh perakaunan dibuat dalam dua tempoh perakaunan yang berturutan dan arahan di atas tidak boleh diguna pakai kerana suatu tahun taksiran akan tertinggal, tempoh asas akan ditentukan oleh Ketua Pengarah atas permohonan daripada individu atau orang selain daripada syarikat / koperasi itu.

    4.3
Dalam kes pembahagian tempoh perakaunan, mana-mana bahagian daripada suatu bulan akan dianggap jatuh ke dalam tempoh pertama.

    4.4
"Orang selain daripada syarikat / koperasi" termasuk Keluarga Sekutu Hindu, badan amanah, harta pusaka simati di bawah pentadbiran, kelab dan persatuan.

    4.5
"Tahun asas bagi suatu tahun taksiran" bermaksud tahun kalendar yang bersamaan dengan tahun taksiran.

    4.6
"Tahun gagal" bermaksud tahun dalam mana terdapat kegagalan menutup akaun pada tarikh perakaunan biasa dan tarikh perakaunan biasa itu bukan 31 Disember.

    4.7
"Tahun taksiran" bermaksud tahun kalendar.

(Tarikh Pengeluaran: 01/03/2000)