Ketetapan Umum No.1/2000


TEMPOH ASAS BAGI SUATU PUNCA BUKAN PERNIAGAAN

1.0 UNDANG-UNDANG CUKAI

Ketetapan ini menjelaskan pemakaian Seksyen 20 dan 21 Akta Cukai Pendapatan, 1967 . Ia berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2000 bagi tempoh asas berakhir dalam tahun 2000 dan tahun-tahun taksiran seterusnya.

2.0 PEMAKAIAN KETETAPAN INI

Ketetapan ini menjelaskan tempoh asas bagi suatu punca bukan perniagaan.


3.0 BAGAIMANA UNDANG-UNDANG CUKAI DIGUNAPAKAI

    3.1
Cukai pendapatan dikenakan bagi suatu tahun taksiran.
    3.2
Tahun asas bagi suatu tahun taksiran bagi suatu punca bukan perniagaan ialah tempoh asas bagi tahun taksiran tersebut.

Contoh:
Tahun asas bagi tahun taksiran 2001 adalah tahun kalendar 2001.

Punca dividen bagi tahun berakhir 31.12.2001 dikenakan cukai dalam tahun taksiran 2001 .

    3.3
Sebagai konsesi kepada syarikat atau koperasi yang mempunyai pendapatan daripada punca-punca perniagaan dan bukan perniagaan, syarikat atau koperasi itu boleh memilih tempoh asas bagi punca perniagaannya sebagai tempoh asas bagi punca bukan perniagaan.

Contoh:
Sebuah syarikat menutup akaunnya pada 30 Jun setiap tahun. Ia mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan dan faedah.

Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 bagi punca perniagaan adalah tahun perakaunan 01.07.2000 hingga 30.06.2001.

Tempoh asas bagi tahun taksiran 2001 bagi punca faedah yang merupakan punca bukan perniagaan adalah tahun berakhir 31.12.2001.

Walau bagaimanapun, syarikat boleh memilih tempoh asas bagi punca perniagaannya, iaitu 01.07.2000 hingga 30.06.2001, sebagai tempoh asas bagi punca faedah. Jika syarikat memilih tahun perakaunan berakhir 30 Jun sebagai tempoh asas bagi punca faedah, ia perlu melakukannya secara konsisten untuk tahun-tahun berikutan.


4.0 INTERPRETASI

Bagi maksud ketetapan ini:
    4.1
"Punca bukan perniagaan" termasuk punca-punca penggajian, pencen, dividen, faedah, sewaan dan royalti yang tidak dianggap sebagai sebahagian daripada punca perniagaan.
    4.2
"Tahun asas bagi suatu tahun taksiran" bermaksud tahun kalendar yang bersamaan dengan tahun taksiran.
    4.3
"Tahun taksiran" bermaksud tahun kalendar.
(Tarikh Pengeluaran: 01/03/2000)