printer

Pengenalan - Apa itu cukai pegangan

Cukai Pegangan ialah satu amaun yang dipegang oleh pembayar terhadap pendapatan yang diterima oleh penerima bukan pemastautin (individu/badan selain individu) dan dibayar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.

'Pembayar' merujuk kepada individu/badan yang menjalankan perniagaan di Malaysia dan perlu meremitkan cukai pegangan terhadap sebarang bentuk bayaran perkhidmatan/khidmat nasihat/sewa harta mudah alih/royalti/faedah/kontrak yang diterima oleh penerima tidak bermastautin.

'Penerima' merujuk kepada individu/badan selain individu bukan pemastautin yang memberi sebarang bentuk perkhidmatan/khidmat nasihat atau menerima sewa harta mudah alih/royalti/faedah daripada pembayar, yang mana cukai pegangan ditolak daripada amaun kasar bayaran perkhidmatan yang diterima.

Potongan Cukai Pegangan

Akta Cukai Pendapatan, 1967 memperuntukkan bahawa apabila seseorang (merujuk sebagai "pembayar") layak membuat bayaran berjenis seperti disenaraikan di bawah ini (kecuali bayaran kepada seniman kembara tidak bermastautin) kepada seorang tidak bermastautin (penerima Tidak Bermastautin), beliau hendaklah memotong cukai pegangan dengan kadar tertentu daripada bayaran itu dan (sama ada atau tiada cukai dipotong ) membayar cukai itu kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri dalam tempoh satu bulan selepas bayaran itu dibayar atau dikreditkan kepada penerima Tidak Bermastautin.

Semua bayaran cukai pegangan (kecuali bagi seniman kembara tidak bermastautin) mesti dikemukakan dengan borang bayaran yang berkaitan yang telah dilengkapkan, bersama-sama dengan salinan invois dari pihak penerima Tidak Bermastautin dan salinan dokumen bayaran sebagai bukti tarikh dibayar / kreditkan kepada penerima Tidak Bermastautin.

Jenis Bayaran Tertakluk Kepada Cukai Pegangan dan Kadar Cukai Pegangan Ke Atas Penerima Tidak Bermastautin :

Cukai Pegangan Atas Penerima Tidak Bermastautin

Jenis Bayaran

Akta Cukai Pendapatan 1967

Kadar Cukai Pegangan

Borang Bayaran

Bayaran Kontrak

Seksyen 107A (1) (a) & 107A (1) (b)

10%, 3%

CP 37A

Faedah

Seksyen 109

15%

CP 37

Royalti

Seksyen 109

10%

CP 37

Pendapatan tertentu kelas khas : Bayaran teknikal,Bayaran perkhidmatan,Sewa / bayaran untuk menggunakan harta boleh alih

Seksyen 109B

10%

CP 37D

Faedah (kecuali faedah yang dikecualikan) dibayar oleh institusi kewangan yang diluluskan

Seksyen 109C

5%

CP 37C

Pendapatan seniman kembara tidak bermastautin

Seksyen 109A

15%

Memo bayaran dikeluarkan oleh Cawangan Penaksiran

Pelaburan Amanah Hartanah (REIT)
(i) Selain daripada syarikat pemastautin
(ii) Syarikat bukan pemastautin
(iii) Pelabur institusi asing berkuatkuasa mulai 01/01/2007

Seksyen 109D



10%

25%

10%

CP 37E

Dana Keluarga/Dana Takaful Keluarga/Dana Am
(i) individu dan lain-lain
(ii) syarikat tidak bermastautin

Seksyen 109E




8%

25%

CP 37E(T)

Pendapatan di bawah seksyen 4(f) ACP 1967

Seksyen 109F

10%

CP 37F

Untuk bayaran cukai pegangan di bawah Seksyen 107A/ 109/ 109B/109D, sila pastikan Borang CP 37A/ CP 37/ CP 37D/CP 37E diisikan dengan lengkap termasuk maklumat nombor cukai pendapatan Malaysia bagi pembayar, penerima serta nyatakan negara asal penerima.

Sekiranya pembayar tiada maklumat nombor rujukan pendapatan penerima, maka pembayar hendaklah membuat permohonan untuk nombor tersebut daripada;

Pengarah
Cawangan Tidak Bermastautin
Unit Pengesanan Dan Khidmat Pelanggan
Tingkat 3 Kiri, Blok 8
Kompleks Bangunan Kerajaan
Jalan Duta, 50600 Kuala Lumpur,


dengan menyatakan nama dan alamat penerima serta jenis bayaran.

Bagi kes bayaran segera (di mana nombor rujukan cukai pendapatan penerima tidak diketahui), pembayar boleh mengemukakan Borang CP 37A/ CP 37/ CP 37D berserta cek bayaran, salinan invois dan salinan pindahan telegraf/penyata bank :

Pengarah
Cawangan Tidak Bermastautin
Unit Cukai Pegangan
Tkt 7 Kanan, Blok 8
Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Duta
50600 Kuala Lumpur


Penguatkuasaan

Di mana pembayar gagal membayar cukai pegangan atau lewat membayar cukai pegangan (tidak di dalam tempoh satu bulan selepas tarikh dibayar/dikreditkan bayaran kepada penerima tidak bermastautin) beliau akan dikenakan kenaikan cukai pegangan bersamaan dengan sepuluh peratus (10%) daripada jumlah cukai pegangan yang masih belum dibayar.

Contoh :
Royalti kasar yang tertakluk kepada cukai pegangan dibayar pada 03/08/2006 = RM200,000
Cukai pegangan diterima oleh LHDN pada 10/09/2006 (lewat daripada 02/09/2006) = RM20,000
Kenaikan cukai dikenakan ke atas pembayar (RM20,000 @ 10%) = RM2,000
Berkuatkuasa mulai 02/09/2006.

Bagi kes pembayar gagal untuk membayar cukai pegangan dan/atau kenaikan atas cukai yang telah dikenakan ke atas beliau:-

Tiada potongan diberi di bawah Sek 33(1), ACP 1967 untuk pembayaran yang dibuat kepada penerima tidak bermastautin ke atas sebarang punca pendapatannya di Malaysia dalam mengira pendapatan larasan atas pembayar, dan

Tindakan guaman sivil di bawah Seksyen 106, ACP 1967 akan diambil ke atas pembayar untuk mengutip semula cukai pegangan dan/atau kenaikan atas cukai yang tidak dibayar adalah menjadi hutang yang kena dibayar olehnya kepada Kerajaan Malaysia.

Bayaran Kontrak Dibayar Kepada Kontraktor Tidak Bermastautin (Penerima Tidak Bermaustautin)

Semua bayaran kontrak yang dibuat kepada kontraktor-kontraktor Tidak Bermastautin berdasarkan bahagian perkhidmatan kontrak adalah tertakluk kepada cukai pegangan:

  1. 10% daripada bayaran kontrak berhubung dengan bahagian perkhidmatan kontrak atas akaun cukai kena bayar oleh penerima tidak bermastautin;

  2. 3% daripada bayaran kontrak berhubung dengan bahagian perkhidmatan kontrak atas akaun cukai kena bayar oleh semua pekerja atas penerima tidak bermastautin;

  3. 'Bahagian Perkhidmatan di bawah Kontrak' bermaksud apa-apa kerja atau perkhidmatan profesional (ikhtisas) dijalankan atau dilaksanakan di Malaysia berhubung atau berkaitan dengan apa-apa kerja, projek atau skim yang dijalankan di Malaysia; dan

  4. Pembayar mesti dalam tempoh satu bulan selepas tarikh membayar atau mengkreditkan bayaran kontrak, meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tidak cukai dipotong) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Malaysia

Faedah Dibayar Kepada Orang Tidak Bermastautin (Penerima Tidak Bermaustautin)

Faedah yang dibayar kepada penerima Tidak Bermastautin adalah tertakluk kepada cukai pegangan pada kadar 15% (atau apa-apa kadar lain yang dinyatakan/terpakai di bawah Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali antara Malaysia dengan mana-mana negara di mana penerima Tidak Bermastautin ialah pemastautin negara tersebut). Cukai ini adalah merupakan Cukai Muktamad.

Faedah dianggap sebagai diperolehi dari Malaysia jika:

  1. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh Kerajaan atau Kerajaan Negeri atau

  2. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh pemastautin di Malaysia;atau

  3. Faedah yang dituntut sebagai perbelanjaan atau belanja ke atas apa-apa pendapatan yang terakru di dalam atau yang diperolehi di Malaysia.

Faedah Yang Tidak Tertakluk Kepada Cukai Pegangan

  1. Faedah dibayar kepada penerima Tidak Bermastautin atas pinjaman yang diluluskan.

  2. Faedah dibayar kepada penerima Tidak Bermastautin oleh Bank atau Syarikat Kewangan yang dilesenkan di Malaysia selain dari:

    1. Seperti faedah terakru kepada sesuatu perniagaan yang dijalankan di Malaysia oleh penerima Tidak Bermastautin.

    2. Faedah atas Pembiayaan yang diperlukan untuk mengekalkan Dana Kerja Bersih seperti yang telah ditetapkan oleh Bank Negara.

Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh pembayaran dibuat/ mengkreditkan faedah hendaklah meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tidak cukai dipotong) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Malaysia.

Royalti Dibayar Kepada Orang Tidak Bermastautin

Royalti ditakrifkan sebagai :

Sejumlah bayaran yang dibuat sebagai balasan/pertimbangan bagi penggunaan sesuatu atau hak untuk menggunakan sesuatu :

  1. Hak cipta, artistik atau kerja-kerja saintifik, ciptaan-ciptaan, reka bentuk atau model-model, pelan-pelan, pemprosesan tanda perdagangan atau pita-pita untuk radio atau penerbitan televisyen, filem-filem atau filem wayang gambar atau pita video atau lain-lain bentuk pengeluaran semula di mana filem atau pita telah digunakan atau akan digunakan atau dikeluarkan semula di Malaysia atau lain-lain seperti hak atau harta.

  2. Kepakaran/'know-how' atau maklumat berkaitan teknikal, perindustrian, komersil atau pengetahuan saintifik, pengalaman atau kemahiran (skil).

  3. Pendapatan yang diperolehi daripada perniagaan apa-apa harta, kepakaran atau maklumat yang dinyatakan seperti yang ditakrifkan di perenggan di atas.

Jumlah kasar royalti yang dibayar kepada penerima Tidak Bermastautin adalah tertakluk kepada cukai pegangan pada kadar 10% (apa-apa kadar yang dinyatakan / dikenakan di bawah Perjanjian Cukai Dua kali di antara Malaysia dan negara-negara di mana penerima Tidak Bermastautin adalah pemastautin negara tersebut). Cukai ini adalah merupakan Cukai Muktamad.

Royalti Dianggap Diperolehi Dari Malaysia jika:

  1. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh Kerajaan atau Kerajaan Negeri, atau

  2. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh pemastautin di Malaysia atau:

  3. Royalti yang dituntut sebagai perbelanjaan atau belanja ke atas apa-apa pendapatan yang terakru di dalam atau yang diperolehi di Malaysia.

Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh dibayar/dikreditkan royalti hendaklah meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tidak cukai dipotong) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Malaysia

Pendapatan tertentu kelas-kelas khas Dibayar kepada Penerima Tidak Bermastautin

Pendapatan tertentu kelas-kelas khas termasuk:

  1. Perkhidmatan-perkhidmatan yang diberi oleh seseorang bukan-pemastautin atau pekerjanya berkaitan dengan penggunaan harta atau hak-hak yang dipunyai olehnya, atau pemasangan atau pengendalian apa-apa loji, jentera atau alat-alat lain yang dibeli daripada, bukan-pemastautin itu;

  2. Nasihat teknikal, bantuan atau perkhidmatan-perkhidmatan yang diberi berkaitan dengan pengurusan atau pentadbiran teknikal apa-apa perusahaan, usaha, projek atau skim saintifik, perindustrian atau perdagangan; atau

  3. Sewa atau pembayaran-pembayaran lain yang dibuat di bawah apa-apa perjanjian atau persetujuan bagi kegunaan apa-apa harta alih,

Para (a) dan (b) adalah terpakai sekiranya perkhidmatan dilakukan di Malaysia - Seksyen 15A

Bayaran Dianggap diperolehi dari Malaysia jika:

  1. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh kerajaan atau Kerajaan Negeri; atau

  2. Tanggungjawab pembayaran adalah oleh pemastautin di Malaysia.

  3. Jika pembayaran di atas atau pembayaran-pembayaran lain dituntut sebagai perbelanjaan atau belanja daripada sesuatu perniagaan yang dijalankan di Malaysia.

Jumlah Kasar bagi 'Pendapatan Tertentu Kelas-kelas Khas' yang dibayar untuk pelaksanaan perkhidmatan di atas oleh penerima Tidak Bermastautin adalah tertakluk kepada 10% Cukai Pegangan (atau apa-apa kadar yang telah dinyatakan/ditetapkan di dalam Perjanjian Cukai Dua Kali di antara Malaysia dengan lain-lain negara di mana penerima Tidak Bermastautin adalah pemastautin negara tersebut). Cukai ini adalah merupakan Cukai Muktamad.

Pembayar dikehendaki dalam tempoh satu bulan selepas tarikh bayaran dibuat/ dikreditkan kepada penerima Tidak Bermastautin, hendaklah meremitkan cukai pegangan (sama ada atau tidak cukai dipotong) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Malaysia.

Seniman Kembara Tidak Bermastautin

'Seniman Kembara' bermakna orang yang mengadakan pertunjukan di atas pentas, artis di radio atau televisyen, pemuzik, ahli sukan atau individu yang menjalankan apa-apa profesion, pertunjukan atau pekerjaan di dalam bidang yang sama iaitu berbentuk hiburan.

Saraan atau lain-lain pendapatan berkenaan dengan perkhidmatan yang dijalankan atau dilaksanakan di dalam Malaysia oleh seniman kembara tidak bermastautin adalah tertakluk kepada cukai pegangan pada kadar 15% daripada bayaran kasar.

Mengikut amalan biasa di mana penganjur bagi seniman kembara tidak bermastautin perlu membayar cukai pegangan sebanyak 15% sebelum permit kebenaran masuk ke Malaysia untuk seniman kembara tidak bermastautin diperolehi daripada pihak Berkuasa Imigresen.

Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali (DTA) Serta Protokol Peraturan

Malaysia telah menandatangani Perjanjian Cukai Dua Kali dengan lebih kurang 69 buah negara. Untuk maklumat berkenaan perbezaan kadar cukai pegangan atas faedah, royalti dan yuran teknikal sila rujuk 'Taksiran Cukai'/ 'Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali'.

Bagi tujuan pembayaran balik di mana pembayar telah terlebih bayar kerana kadar cukai yang berkurangan di bawah Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali, permohonan hendaklah dibuat kepada Pengarah, Cawangan Tidak Bermastautin bersama-sama butir-butir di bawah:

  1. Alasan untuk pembayaran balik tersebut.

    1. Kemukakan surat daripada pihak berkuasa cukai untuk mengesahkan bahawa penerima adalah pemastautin di negara tersebut bagi maksud cukai.

    2. Bukti untuk menunjukkan bahawa syarat-syarat seperti dikehendaki di bawah Perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali telah dipenuhi.

  2. Bukti-bukti pembayaran cukai pegangan

    Nota : Perubahan pada penggunaan pakai Seksyen 107A dan Seksyen 15A, Akta Cukai Pendapatan 1967 berkuat kuasa 21 September 2002.

    1. Bermula 21 September 2002, penggunaan kadar cukai pegangan di bawah sub-Seksyen 107A(1)(a) ialah sepuluh peratus (10%) berbanding kadar lama sebanyak lima belas peratus (15%). Bagi kadar cukai pegangan di bawah sub-Seksyen 107A(1)(b) ialah tiga peratus (3%) berbanding kadar lama sebanyak lima peratus (5%).

    2. Bermula 21 September 2002, sebarang bayaran kepada perkhidmatan teknikal/khidmat nasihat/pemasangan loji dan jentera yang dilakukan di luar Malaysia (off-shore), tidak tertakluk kepada cukai pegangan dengan syarat pihak pembayar dan penerima perlu mengemukakan bukti sokongan yang memuaskan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri. Walau bagaimanapun peruntukkan ini tidak terpakai bagi pendapatan kelas khas seksyen 4A (iii) Akta Cukai Pendapatan 1967.